Friday, May 09, 2008

Antara Perpustakaan & Mangsa Taufan Nargis

Saya mohon ampun banyak-banyak kerana projek perpustakaan tidak dapat dikemaskini dengan baik sejak beberapa hari lepas kerana saya agak sibuk dengan usaha-usaha mengumpul dana untuk Tabung Taufan Myanmar Islamic Relief.Sila layari laman web Islamic Relief Malaysia http://www.irm.org.my jika ingin membantu.

Semalam saya ke udara di Astro Awani menyebarkan sedikit maklumat kepada penonton tentang cara-cara untuk membantu mangsa taufan Nargis melalui usaha yang dilakukan oleh Islamic Relief. Apabila ditanya oleh pembaca berita,Amir Mahmood Razak tentang apa lagi yang boleh rakyat Malaysia lakukan untuk membantu mangsa taufan Nargis ini, antaranya saya menjawab,

"Beritahu kawan-kawan tentang nasib mangsa taufan melalui blog!"

Dengan keadaan yang tidak menentu di Myanmar terutama mengenai isu kesukaran para pekerja bantuan kemanusiaan dari Barat dan Amerika untuk mendapatkan visa memasuki Myanmar , silap-silap saya terpaksa tukar topi dari tukang canang untuk menderma wang kepada topi pekerja bantuan kemanusiaan ke Myanmar!

Oleh itu urusan pembelian buku-buku projek perpustakaan di Machang harus saya selesaikan hujung minggu ini kerana ada kemungkinan saya tidak akan berada di dalam negara dalam masa tempoh terdekat ini. Namun demikian, urusan penghantaran buku-buku berkenaan saya tidak risau kerana kawan-kawan yang akan ke Machang sudah mengesahkan kesediaan mereka untuk membantu.

Setakat ini, ada 17 orang yang mengesahkan untuk berkonvoi ke Machang, Sabtu depan. Kos petrol, makan-minum dan tempat tinggal akan dikongsi bersama. Dana yang dikutip selama ini akan digunakan sepenuhnya untuk membeli buku dan rak-rak buku.

Selesai sahaja projek di Machang, saya akan isytihar rekod pembelian buku di dalam blog ini.
Setakat ini kutipan masih tetap di jumlah RM5580.

No comments: