Sunday, June 28, 2009

Hujung Minggu di STAR,Ipoh



Pagi tadi, sebelum meninggalkan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR),saya sempat meninggalkan beberapa buah buku daripada perpustakaan peribadi saya untuk disumbangkan kepada Perpustakaan STAR.

Barangkali,inilah cara terbaik bagi saya untuk membalas budi kepada sekolah tercinta. Moga pelajar-pelajar STAR beroleh manfaat daripadanya.

Dirgahayu STAR!

Friday, June 26, 2009

Kenang-kenangan di Maine

Saya masih terkenang-kenang pengalaman belajar di Teater Celebration Barn, Maine pada tahun 2005 ketika mengikuti bengkel “Eccentric Performing” di bawah tunjuk ajar Avner Eisenberg dan isterinya, Julie Goell.


roda kereta kuda di tepi Bangsal Teater Celebration

Nyata, saya merindui suasana nyaman bangsal merah yang dikelilingi pohon-pohon epal masam dan Roda 'cartwheel' masih tersadai di tepi pokok willow yang daunnya berjurai hampir mencecah tanah.Alangkah seronoknya jika dapat berjalan-jalan kembali bersama-sama rakan sekelas di waktu pagi sebelum kelas bermula.


Pokok Willow di tepi kolam tempat saya mencari idea persembahan.

Saya masih rindukan gelak ketawa apabila si Rhys-Bevan, pelakon berbakat dari Halifax,Nova Scotia (tempat Titanic tenggelam) membebel panjang tentang sesuatu isu yang kami tidak mengerti di atas pentas dan tidak menyedari sehingga selesai bahawa kami tertawa dengan perlakuannya itu sungguh melucukan dan bukannya bebelannya panjang itu.


Setiap hari kami duduk di kerusi-kerusi itu menunggu giliran untuk membuat persembahan.

Saya rindukan juga suasana tegang dan amat menekankan setiap kali kami mempersembahkan sketsa di hadapan Avner dan Julie. Saya rindukan kritikan tajam Avner itu. Pertama kali saya dikritiknya,saya rasa mahu sahaja menaiki kapal terbang pulang ke Malaysia pada saat itu.

Namun disebalik ketelitiannya, beliau sebenarnya amat pemurah untuk berkongsi pengalaman-pengalamannya di dalam bidang teater komedi dan filem (sila tonton Jewel of The Nile untuk melihat aksinya) yang sungguh berharga bagi kami.

Dialah yang mengajar seni komedi fizikal (physical comedy) ini boleh dilakukan tanpa menggunakan suara dan disampaikan dengan mudah hanya melalui gerak pernafasan semata-mata.


'Penyelesaian masalah' dalam dunia badut.

Ilmu itu saya berjaya fahami tanpa disedari ketika melakukan persembahan saya menggunakan teknik yang diajarnya; 'penyelesaian masalah’ (problem solving) kerana terlalu khusyuk untuk mendapatkan roti sandwic yang terjatuh ke lantai.

“Tiada orang di dalam dunia berusaha bersungguh-sungguh seperti anda, tetapi tidak mendapat apa-apa”, kata Avner sebaik sahaja saya selesai membuat persembahan itu.

Rupa-rupanya itu bukan kritikan tetapi pujian! Ia satu penghormatan bagi saya kerana Avner jarang sekali membuka mulut untuk memuji.

Tavis,rakan sebilik saya, malam itu memberitahu,

“ Is,apa yang awak ada itu adalah sesuatu yang kami cuba dalami bertahun-tahun lamanya.”


Bangsal Teater Celebration di South Paris,Maine.

Thursday, June 25, 2009

Hujung minggu ini


Saya tidak sabar menunggu hujung minggu ini.Pertama kerana pada hari Sabtu,kami akan ke sana untuk menubuhkan perpustakaan di Darul Hikmah, di Sungai Itek, Gopeng, Perak.

Kami akan berkonvoi kereta, van dan lori pada pagi hari Sabtu ke Gopeng. Pihak Nationwide Express telah bermurah hati menghulurkan bantuan logistik- sebuah lori untuk membawa kotak-kotak berisi buku dan rak-rak buku ke sana.Para sukarelawan dan staf IRM yang memahami masalah pengangkutan yang dihadapi kami (kami hanya ada satu van sebagai kenderaan rasmi untuk ke hulu dan ke hilir), menawarkan diri untuk memandu kereta masing-masing.

Saya difahamkan oleh pengurus Darul Hikmah, Hj Jamal, bahawa pengasas Darul Hikmah, Hajah Embun juga akan hadir sama pada hari Sabtu ini. Menariknya, saya menerima panggilan telefon dari seorang anak murid beliau (semasa beliau mengajar di SK Seri Kepayang sekitar tahun 1970an) yang juga bekas pelajar STAR Ipoh, Tuan Ismail (Batch 74') yang beria-ria benar ingin menghubunginya gurunya itu dan kehadiran Hajah Embun ini mungkin 'hadiah'yang memberi makna tersendiri kepada beliau kelak.

Sebaik sahaja kami menyerahkan perpustakaan tersebut kepada pengurusan Darul Hikmah, saya akan menyertai pula rakan-rakan sepersekolahan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman,Ipoh untuk majlis perjumpaan bekas pelajar STAR untuk tahun 2009 yang diadakan sepanjang hujung minggu ini.Inilah masa saya bertemu rakan-rakan lama dan mengambil peluang untuk bertanya khabar, serta mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang semakin beruban itu atas jasa-jasa mereka mendidik kami di STAR dahulu.

Pada hari Ahad pula, saya akan melawat Rumah Anak Yatim Darussalam di Tambun, Ipoh sebelum menuju ke Parit,Perak melawat rumah anak yatim Bait Al-Amin untuk meninjau keperluan perpustakaan di rumah-rumah anak yatim berkenaan.

Semoga hujung minggu ini juga memberi makna dalam kehidupan anda!

Wednesday, June 24, 2009

Saya dan perpustakaan


Perpustakaan SK Penjom.

Saya dan perpustakaan amat akrab.

Semasa saya kecil, perpustakaan di Sekolah Kebangsaan Penjom di mana bapa saya bertugas sebagai guru besar (jawatan yang tidak besar gajinya pada waktu itu) merupakan 'stor kanjus' saya setiap petang.Kerani sekolah, Pak Zabaruddin yang pandai menari Zapin itu sudah faham benar apabila saya datang ke pejabat sekolah selepas waktu sekolah,beliau akan memberikan kunci perpustakaan.Saya akan memulangkannya dengan menyusupkan kunci di bawah pintu pejabatnya apabila sudah selesai menggunakan perpustakaan.

Di dalam perpustakaan itulah, saya khayal ‘mengembara’ ke serata dunia dengan membaca buku-buku Enid Blyton, Thomas The Tank Engine, Ensiklopedia dan himpunan buku-buku Penguin Books.

Mengingati zaman kanak-kanak yang indah itu juga, saya pasti tidak sabar menunggu ketibaan hari Sabtu.Hari itu istimewa kerana kebiasaannya hari inilah peluang bagi kami sekeluarga keluar dari Kg.Penjom untuk menikmati buku di kutub khanah desa di bandar Kuala Lipis, Pahang.

Sementara menunggu ibu bapa saya membeli barang-barang di pasar, kami ditinggalkan mereka di bangunan kayu usia berpuluh tahun itu bersebelahan dengan Kuil Hindu,dan dengan penuh gembira kami membaca buku dan memilih buku-buku untuk dipinjam selama dua minggu.


Perpustakaan JB Priestley,University of Bradford. (Gambar disalin dari sini)

Cinta saya kepada perpustakaan terbawa-bawa sehingga dewasa.Saya masih ingat meneroka rak-rak buku di J.B.Priestley Library di University of Bradford mencari karya puisi Pablo Neruda di tingkat dua sedangkan saya seharusnya berada di tingkat satu di rak-rak buku kejuruteraan!

Tuesday, June 23, 2009

Kerja Sukarela & Kreativiti





Saya benar-benar teruja untuk bertandang ke Gopeng bagi menubuhkan perpustakaan di Rumah Anak Yatim Darul Hikmah pada hari Sabtu ini (27 Jun 2009).

Paling seronok apabila ramai sahabat-sahabat sukarelawan yang menawarkan bantuan mereka bagi menjayakan projek ini.

Pagi-pagi lagi seorang sukarelawan yang sudah lama tidak menjenguk pejabat kami kerana kesibukan tugas menelefon.

"Sudah ada 'goodie bags' untuk anak-anak itu?", beliau bertanya.

"Belum".Saya berterus-terang.Agak sukar untuk mengingati perkara sekecil itu tetapi penting apabila hampir kesemua rakan setugas 'hilang' kerana bertugas di luar kawasan.Sebahagian mereka berada diAcheh,Indonesia dan yang lain berada di Kerteh,Terengganu.

"OK,saya akan dapatkan tiga puluh 'goodie bags' untuk anak-anak itu."

Bantuan lain diterima melalui 'rayuan' di Facebook.Ada pula tukang-tukang promosi yang baik hati (Terima kasih Tuan Zamri dan Tuan Syarafuddin)menghebahkan keperluan jurufoto untuk projek kali ini melalui laman Facebook mereka.

Jurufoto-jurufoto yang selalu mengikuti program-program kemasyarakatan kami sebelum ini tidak dapat ikut sama kerana mempunyai komitmen masing-masing.Seorang akan berkelana ke Saigon (Selamat pergi dan pulang!) dan seorang lagi tidak dibenarkan oleh doktor untuk memegang kamera! Aduh!

Alhamdulillah,selepas diwar-warkan,ada yang menyahut.Seorang sahabat lama di kolej dahulu menawarkan diri untuk membantu.Hampir 14 tahun tidak berjumpa dengan beliau.Saya ada kejutan untuknya nanti!

Tidak semena-mena juga,seorang lagi sahabat yang berbakat besar dalam bidang video menawarkan diri untuk membuat penggambaran video pada hari itu.Terima kasih Tuan Latfy.

Peristiwa-peristiwa ini mengingatkan saya kepada tulisan John Wood, pengasas gerakan membina perpustakaan di seluruh dunia, Room to Read,di dalam bukunya,"Leaving Microsoft to Change The World".

Beliau berpendapat bahawa,kadang-kadang adalah lebih baik bagi sebuah organisasi yang berteraskan semangat kesukarelawanan seperti Room to Read sekiranya mereka tidak mempunyai semua penyelesaian dan strategi kepada masalah yang mereka dihadapi.

Ketiadaan penyelesaian ini akan memberi motivasi kepada para sukarelawan mereka untuk memerah otak dan memberi idea kreatif serta mewujudkan peranan mereka dalam menyelesaikan masalah tersebut atau dalam perlaksanaan tugas.

Sekiranya organisasi itu sudah mendapatkan penyelesaian lebih awal terhadap sesuatu isu,maka motivasi dan semangat untuk bersukarela membantu tidak akan begitu kukuh untuk menarik minat orang ramai membantu organisasi itu kerana ia tidak memberi peluang kepada mereka untuk turut sama membantu dengan menggunakan daya kreativiti masing-masing dan mencipta peranan mereka dalam menyelesaikan permasalahan itu.

Bakat



Gambar ini diambil sekitar tahun 2001 semasa majlis penghargaan sukarelawan MAKNA sempena program mengumpul dana untuk pesakit kanser, Telekanser 2001.Saya berdiri di hadapan dengan berambut stail afro dan berseluar merah.Saya kira ini adalah detik-detik awal saya ke arah menceburi dunia seni badut (theatrical clowning).

Namun jika diimbau kenangan masa lalu, semasa saya bersekolah di STAR,Ipoh dahulu, bakat dalam seni persembahan itu sudah mula diasah. Di dalam kelas, disebalik ketekunan saya belajar,kadang-kadang adakalanya 'fius' minda akan tercabut dengan sendiri dan saya akan membuat aksi-aksi improvisasi lucu di dalam kelas untuk menghibur rakan-rakan. Dan bakat itu juga berguna bagi saya sebagai 'defence mechanism' untuk mengelakkan diri dari dibuli di asrama dan juga di kelas.

Wednesday, June 17, 2009

Nilai 1000 ekor itik


Bayangkan bagaimana 1000 ekor itik boleh membela 60 orang anak yatim.

Ini idea yang sungguh mudah tetapi luar biasa.

Baru-baru ini, saya berkesempatan melawat Banda Aceh sebahagian daripada tugasan untuk meninjau potensi pembiayaan dana projek pembangunan semula Aceh selepas 5 tahun dilanda bencana Tsunami.

Kami sempat melawat sebuah asrama anak yatim di pinggir kota Banda Aceh dan bertemu dengan pengurus asrama berkenaan yang bernama Ustaz Sarwo Edhie (mengingatkan saya kepada seorang tokoh besar militer Indonesia).

" Kami tidak mahu diberi dana untuk biaya anak-anak yatim ini", tegasnya.

"Selama mana kami harus mengharap belas ihsan orang lain.Kami harus berdikari,pak".

"Berikan kami biaya untuk membeli 1000 ekor bebek (itik) telur", ujarnya.

Melihat kami terpinga-pinga, beliau menjawab persoalan di hati kami,

"Begini pak, dengan 1000 ekor itik yang boleh bertelur,kami boleh menjual telurnya ke pasar.Harga telur itik mahal di Aceh.Kami sudah membuat kira-kira dengan 1000 ekor itik,kami bisa membiayai sara hidup 60 orang anak-anak yatim Aceh!"

"Bagaimana dengan kos makanannya kelak?",kami bertanya lanjut.

"Oh,mudah sahaja pak.Itik-itik ini suka makan keong (siput babi). Petani-petani di sekitar tempat ini tentu suka sekali kalau siput-siput babi yang selama ini merosakkan tanaman mereka berjaya dihapuskan dengan adanya itik-itik ini", beliau memberikan jawapan.

Tanpa menunggu kami untuk terus menyoalnya, dia menerangkan,

"Lagipun,membela itik ini mudah.Tidak perlu ruang yang luas.Paya di sebelah asrama ini akan menjadi tempat mereka mencari makan.Lagipun itik-itik ini biasanya tahan penyakit".

Dia menambah,

"Anak-anak yang lasak ini pula suka menjaga itik-itik ini dan setiap petang mereka akan mencari siput di kebun-kebun untuk dijadikan makanan itik".

Saya kagum dengan mereka kerana menyelesaikan masalah yang kompleks dengan cara yang paling mudah dan murah.

Monday, June 15, 2009

Sekolah Antarabangsa

Di sinilah saya benar-benar mengerti bahawa pendidikan itu adalah hak asasi semua orang tanpa mengira bangsa dan agama dan kerakyatan.



Bangunan ini bekas balai raya.Ibu-ibu yang menunggu di luar balai itu ada yang berjalan berbatu-batu jauhnya semata-mata mahu memastikan anak mereka mendapat hak belajar seperti orang lain.


Cat di dinding sekolah sudah kusam warnanya.Tingkap-tingkap sudah pecah.Kalau hujan,sudah pasti basah lantai di dalamnya.


Ini anak-anak yang dahagakan ilmu. Lapan puluh anak-anak semuanya duduk berhimpit-himpit di dalam setiap satu sesi.Ada tiga sesi persekolahan berlangsung setiap hari.

Anak-anak berumur 6 tahun akan berkongsi meja dengan anak-anak remaja berusia 14 tahun dan belajar ilmu yang sama.

Senyuman mereka senyuman anak-anak yang tidak mengerti mengapa mereka tidak bisa belajar di dalam kelas yang selesa atau belajar ilmu setara dengan umur mereka.

Ilmu kira-kira, membaca, menulis dan pengetahuan Islam ialah empat mata pelajaran utama mereka.

Tak usah ditanya samada keluarga mereka mampu membayar yuran persekolahan yang hanya memerlukan lebih kurang RM40 setiap bulan untuk menampung belanja makan,alatulis dan pemeriksaan kesihatan mereka.

Dosa mereka hanya satu. Mereka dilahirkan bukan sebagai rakyat negeri ini. Mereka dilahirkan sebagai warga Indonesia dan Filipina dan bertaraf pelarian dan PATI.

Inilah cerita pendek anak-anak di "Sekolah Antarabangsa" Kampung Nelayan, Likas,Sabah.

Sunday, June 14, 2009

Jualan Amal Barangan Terpakai


Sukarelawan dan kakitangan Islamic Relief Malaysia bergambar kenang-kenangan selepas program jualan amal Secangkir Kasih anjuran bersama IKIM.FM,Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Kelab IKIM.

Alhamdulillah,jualan amal barangan terpakai pada hari Sabtu lepas telah berlangsung dengan meriah sekali.Hasil jualan yang belum dikira dan dijangka mencecah ribuan ringgit akan disalurkan untuk projek perpustakaan rumah anak yatim IRM.

Penat tapi puas.

MASKARA bersama Dewangga Sakti

Kumpulan Dewangga Sakti di Showcase MASKARA

Hujung minggu lepas saya sempat menikmati persembahan kumpulan muzik Dewangga Sakti (DS) sempena Showcase Maskara bertempat di Rumah PENA. Saya sudah beberapa kali tidak berkesempatan untuk menghadiri persembahan mereka kerana kesibukan dan Sabtu lepas,tercapailah hajat saya untuk mendengar kembali alunan biola Norman dan petikan gambus si Zul dan mainan alat muzik ahli kumpulan DS yang lain.

Lagu-lagu seperti Kaparinyo dan Lemak Manis terus terngiang-ngiang walaupun sudah seminggu berlalu.

Friday, June 12, 2009

Doing charity



Frankly, I don't do it for the sake of I-feel-good.

I do it because I believe in making change.

For me personally, I-do-it-because-I-feel-good won't last long.It's seasonal. It does not require any commitment. You can do it whenever you feel like to do it.

Making change means we have to commit for it.

It works for me.

Thursday, June 11, 2009

Jualan Amal Barangan Terpakai Sabtu ini!




Kalau tuan-tuan dan puan-puan kelapangan pada hari Sabtu ini(13 Jun 2009), jemputlah datang ke Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) kerana Islamic Relief Malaysia dan IKIM.FM serta Kelab IKIM akan mengadakan Jualan Amal barangan terpakai yang telah didermakan oleh orang ramai untuk mengumpul dana Projek Perpustakaan Rumah Anak Yatim Islamic Relief Malaysia.

Jualan amal tersebut akan bermula pada pukul 10.00 pagi sehingga 3.00 petang.

Selain daripada jualan amal,acara-acara seperti persembahan artis jemputan,gerai-gerai jualan, demonstrasi hiasan kek,lelongan barangan juruhebah-juruhebah IKIM.FM dan artis-artis akan turut diadakan.

Tuesday, June 09, 2009

berkorban

Tahun ini saya terpaksa berkorban sekali lagi.Rancangan untuk menghadiri kursus 'theatre clowning' di Boulder,Colorado terpaksa ditangguhkan kerana tidak boleh bercuti.Kebanyakan kursus dijalankan pada musim panas.Tahun lepas, saya 'melepas peluang' kerana kursus bertindih dengan tugasan kerja di bulan Ramadan.Tahun ini pun sama.

Saya sentiasa mengingati kata-kata Ramli Ibrahim, si jurutera elektrik yang bertukar bidang kepada penari tarian klasik India,

"Orang seni kalau tidak berkarya,dia boleh jadi gila!"

Tak sabar rasanya menunggu tahun depan.

Projek Perpustakaan Darul Hikmah, Gopeng : Terkini

Ketika ini, saya agak sibuk dengan urusan pembelian buku,rak buku dan kelengkapan perpustakaan yang lain untuk projek perpustakaan di Darul Hikmah,Gopeng.

Mengikut perancangannya, kami akan ke sana untuk menubuhkan perpustakaan pada 27 Jun 2009 mengikut program tentatif berikut:

Tarikh : 27 Jun 2009 (Sabtu)

Program:

7.30 pagi - Bertolak ke Gopeng dari Kuala Lumpur

10.30 pagi - Tiba di Darul Hikmah,Gopeng dan terus menyiapkan ruang perpustakaan
serta menyusun buku.

12.00 tengahari - Rehat,makan tengahari dan solat Zohor

2.30 petang - Majlis Penyerahan Perpustakaan

4.30 petang - Pulang ke Kuala Lumpur


Kalau ada sesiapa yang ingin turut sama menubuhkan perpustakaan ini bolehlah berkonvoi kereta ke sana pada hari tersebut.Mohon maklumkan nama anda kepada saya seberapa segera.

Kami juga mungkin perlukan sukarelawan yang arif fotografi untuk mengambil foto semasa program berkenaan. Kalau ada yang berminat untuk membantu, mohon hubungi saya: iskandar@irm.org.my.

Monday, June 08, 2009

Projek Perpustakaan Rumah Amal Limpahan Kasih,Puchong

Dua minggu yang lalu, kami telah berjaya tubuhkan perpustakaan di Rumah Amal Limpahan Kasih (RALK),Puchong.Namun saya tidak dapat hadir bersama-sama pada hari tersebut.Saya berada nun jauh di Pekan,Pahang.Rakan-rakan sekerja dan para sukarelawan Islamic Relief Malaysialah yang bertungkus-lumus menyempurnakan dengan jayanya majlis penyerahan perpustakaan kepada rumah anak yatim berkenaan.

Projek kali ini dibiayai oleh Yayasan Joseph William Yee Eu (Yayasan JWYE). Saya diberitahu, Dr Khoo, pengerusi yayasan yang turut hadir sama di majlis penyerahan itu,tersenyum lebar sepanjang masa dan sibuk mengambil foto perpustakaan baru itu.

Ah, saya biarkan sahaja foto-foto dibawah ini menyambung cerita saya ini.



Anak perempuan Kak Nani Menon (penulis PTS) ini dan abangnya tekun sepanjang minggu menyelesaikan urusan merekodkan senarai buku perpustakaan.


Linda,Kak Nani Menon dan Farouq mengasing dan melabel buku mengikut kategori.



Anak-anak yatim turut membantu membawa kotak-kotak berisi buku ke ruang perpustakaan.


Program menyusun buku-buku di perpustakaan dijalankan pada waktu malam sebelum hari penyerahan keesokan harinya.


Nasib baik ada Wan dan sukarelawan Nasrun yang datang membantu sama.



Anak-anak itu juga menolong kami menyusun buku-buku di rak.


Sukarelawan IRM, Nurul Akmar dan Syaja sedang menyusun buku-buku di rak.


Belum sempat perpustakaan ini dirasmikan,anak-anak itu sudah pun menikmati buku-buku di perpustakaan.


Majlis penyerahan. Dari kiri: wakil Yayasan JWYE, Pengurus Negara IRM-Zawahir,Pengerusi Yayasan JWYE - Dr.Khoo Boon Khean dan Pengerusi RALK - Puan Rabaah Aziz.


Saya kira Dr.Khoo amat gembira dengan usaha bersama IRM dan Yayasan JWYE ini.


'Plaque' kenang-kenangan kemitraan IRM dan Yayasan JWYE dalam usaha memupuk minat membaca di kalangan anak-anak yatim tanpa mengira ras dan agama.


Kami berjaya sediakan 3 set ensiklopedia untuk projek perpustakaan kali ini.


Moga panel bertuliskan 'mutiara kata' yang terpampang di dinding perpustakaan akan memberi inspirasi kepada anak-anak itu untuk berusaha mencapai kejayaan

Novel remaja terbitan PTS.


Sukarelawan IRM, Ummi berkongsi pengalamannya dalam bidang konservasi alam laut dengan anak-anak yatim RALK.



Anak-anak itu mula menikmati 'harta karun' di dalam gedung ilmu ini.



Pemandangan yang tidak ternilai harganya.



Ensiklopedia mula dimanfaatkan.



Khusyuk membaca Hikayat Abu Nawas.



Sebahagian anak-anak yatim perempuan di RALK.



Gambar-gambar dan ilustrasi di dalam buku bisa menarik minat mereka untuk membaca.



Apabila Kanak-kanak lelaki bertemu komik....



Moga mereka terus "Merindu Buku"*

* Nota: Puisi SN A.Samad Said, "Merindu Buku" diabadikan di atas 'plaque' di dalam perpustakaan ini.

Thursday, June 04, 2009

Gula Kabung



Orang tua saya selalu mengingatkan,

"Kalau menziarahi orang bawa buah tangan yang manis-manis"

"Kalau bawa benda masam seperti tempoyak,pastikan ada jodohnya benda manis"


Saya ingat kata-katanya itu sehingga sekarang.

Benda manis mengingatkan saya kepada gula kabung.

Gula kabung sememangnya terkenal di daerah Lipis dan Jerantut.Kalau nak buat inti buah melaka,gula kabunglah yang paling sedap!

Ia boleh dibeli di pasar-pasar atau di kedai-kedai runcit.Dulu murah.Tapi sekarang,sebuku sahaja sudah cecah RM6.00!

Boleh jumpa yang murah,tapi kena pergi ke 'punca'nya di Kg.Budu dan Kg Peruang di kawasan Benta, Kuala Lipis,Pahang.

Di situ, boleh terus pergi ke rumah orang yang membuatnya.

Ada sesiapa nak ikut saya ke sana?

Wednesday, June 03, 2009

Morning Poem

Morning Poem by Mary Oliver

Every morning
the world
is created.
Under the orange

sticks of the sun
the heaped
ashes of the night
turn into leaves again

and fasten themselves to the high branches ---
and the ponds appear
like black cloth
on which are painted islands

of summer lilies.
If it is your nature
to be happy
you will swim away along the soft trails

for hours, your imagination
alighting everywhere.
And if your spirit
carries within it

the thorn
that is heavier than lead ---
if it's all you can do
to keep on trudging ---

there is still
somewhere deep within you
a beast shouting that the earth
is exactly what it wanted ---

each pond with its blazing lilies
is a prayer heard and answered
lavishly,
every morning,

whether or not
you have ever dared to be happy,
whether or not
you have ever dared to pray.


from Dream Work (1986) by Mary Oliver