Friday, June 26, 2009

Kenang-kenangan di Maine

Saya masih terkenang-kenang pengalaman belajar di Teater Celebration Barn, Maine pada tahun 2005 ketika mengikuti bengkel “Eccentric Performing” di bawah tunjuk ajar Avner Eisenberg dan isterinya, Julie Goell.


roda kereta kuda di tepi Bangsal Teater Celebration

Nyata, saya merindui suasana nyaman bangsal merah yang dikelilingi pohon-pohon epal masam dan Roda 'cartwheel' masih tersadai di tepi pokok willow yang daunnya berjurai hampir mencecah tanah.Alangkah seronoknya jika dapat berjalan-jalan kembali bersama-sama rakan sekelas di waktu pagi sebelum kelas bermula.


Pokok Willow di tepi kolam tempat saya mencari idea persembahan.

Saya masih rindukan gelak ketawa apabila si Rhys-Bevan, pelakon berbakat dari Halifax,Nova Scotia (tempat Titanic tenggelam) membebel panjang tentang sesuatu isu yang kami tidak mengerti di atas pentas dan tidak menyedari sehingga selesai bahawa kami tertawa dengan perlakuannya itu sungguh melucukan dan bukannya bebelannya panjang itu.


Setiap hari kami duduk di kerusi-kerusi itu menunggu giliran untuk membuat persembahan.

Saya rindukan juga suasana tegang dan amat menekankan setiap kali kami mempersembahkan sketsa di hadapan Avner dan Julie. Saya rindukan kritikan tajam Avner itu. Pertama kali saya dikritiknya,saya rasa mahu sahaja menaiki kapal terbang pulang ke Malaysia pada saat itu.

Namun disebalik ketelitiannya, beliau sebenarnya amat pemurah untuk berkongsi pengalaman-pengalamannya di dalam bidang teater komedi dan filem (sila tonton Jewel of The Nile untuk melihat aksinya) yang sungguh berharga bagi kami.

Dialah yang mengajar seni komedi fizikal (physical comedy) ini boleh dilakukan tanpa menggunakan suara dan disampaikan dengan mudah hanya melalui gerak pernafasan semata-mata.


'Penyelesaian masalah' dalam dunia badut.

Ilmu itu saya berjaya fahami tanpa disedari ketika melakukan persembahan saya menggunakan teknik yang diajarnya; 'penyelesaian masalah’ (problem solving) kerana terlalu khusyuk untuk mendapatkan roti sandwic yang terjatuh ke lantai.

“Tiada orang di dalam dunia berusaha bersungguh-sungguh seperti anda, tetapi tidak mendapat apa-apa”, kata Avner sebaik sahaja saya selesai membuat persembahan itu.

Rupa-rupanya itu bukan kritikan tetapi pujian! Ia satu penghormatan bagi saya kerana Avner jarang sekali membuka mulut untuk memuji.

Tavis,rakan sebilik saya, malam itu memberitahu,

“ Is,apa yang awak ada itu adalah sesuatu yang kami cuba dalami bertahun-tahun lamanya.”


Bangsal Teater Celebration di South Paris,Maine.

3 comments:

Roti Kacang Merah said...

ish, this must be such a fulfilling break for you, kan??? Allah has indeed being kind to you for you being kind to others!

jealous, lahhhh...

Anonymous said...

Tempat jatuh lagikan dikenangkan Is..

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

Madam RKM: Kalau ada rezeki,nak datang balik ke tempat ini.

anon: true.