Saya tidak sabar menunggu hujung minggu ini.Pertama kerana pada hari Sabtu,kami akan ke sana untuk menubuhkan perpustakaan di Darul Hikmah, di Sungai Itek, Gopeng, Perak.
Kami akan berkonvoi kereta, van dan lori pada pagi hari Sabtu ke Gopeng. Pihak Nationwide Express telah bermurah hati menghulurkan bantuan logistik- sebuah lori untuk membawa kotak-kotak berisi buku dan rak-rak buku ke sana.Para sukarelawan dan staf IRM yang memahami masalah pengangkutan yang dihadapi kami (kami hanya ada satu van sebagai kenderaan rasmi untuk ke hulu dan ke hilir), menawarkan diri untuk memandu kereta masing-masing.
Saya difahamkan oleh pengurus Darul Hikmah, Hj Jamal, bahawa pengasas Darul Hikmah, Hajah Embun juga akan hadir sama pada hari Sabtu ini. Menariknya, saya menerima panggilan telefon dari seorang anak murid beliau (semasa beliau mengajar di SK Seri Kepayang sekitar tahun 1970an) yang juga bekas pelajar STAR Ipoh, Tuan Ismail (Batch 74') yang beria-ria benar ingin menghubunginya gurunya itu dan kehadiran Hajah Embun ini mungkin 'hadiah'yang memberi makna tersendiri kepada beliau kelak.
Sebaik sahaja kami menyerahkan perpustakaan tersebut kepada pengurusan Darul Hikmah, saya akan menyertai pula rakan-rakan sepersekolahan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman,Ipoh untuk majlis perjumpaan bekas pelajar STAR untuk tahun 2009 yang diadakan sepanjang hujung minggu ini.Inilah masa saya bertemu rakan-rakan lama dan mengambil peluang untuk bertanya khabar, serta mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang semakin beruban itu atas jasa-jasa mereka mendidik kami di STAR dahulu.
Pada hari Ahad pula, saya akan melawat Rumah Anak Yatim Darussalam di Tambun, Ipoh sebelum menuju ke Parit,Perak melawat rumah anak yatim Bait Al-Amin untuk meninjau keperluan perpustakaan di rumah-rumah anak yatim berkenaan.
Semoga hujung minggu ini juga memberi makna dalam kehidupan anda!
No comments:
Post a Comment