Tuesday, June 23, 2009

Kerja Sukarela & Kreativiti





Saya benar-benar teruja untuk bertandang ke Gopeng bagi menubuhkan perpustakaan di Rumah Anak Yatim Darul Hikmah pada hari Sabtu ini (27 Jun 2009).

Paling seronok apabila ramai sahabat-sahabat sukarelawan yang menawarkan bantuan mereka bagi menjayakan projek ini.

Pagi-pagi lagi seorang sukarelawan yang sudah lama tidak menjenguk pejabat kami kerana kesibukan tugas menelefon.

"Sudah ada 'goodie bags' untuk anak-anak itu?", beliau bertanya.

"Belum".Saya berterus-terang.Agak sukar untuk mengingati perkara sekecil itu tetapi penting apabila hampir kesemua rakan setugas 'hilang' kerana bertugas di luar kawasan.Sebahagian mereka berada diAcheh,Indonesia dan yang lain berada di Kerteh,Terengganu.

"OK,saya akan dapatkan tiga puluh 'goodie bags' untuk anak-anak itu."

Bantuan lain diterima melalui 'rayuan' di Facebook.Ada pula tukang-tukang promosi yang baik hati (Terima kasih Tuan Zamri dan Tuan Syarafuddin)menghebahkan keperluan jurufoto untuk projek kali ini melalui laman Facebook mereka.

Jurufoto-jurufoto yang selalu mengikuti program-program kemasyarakatan kami sebelum ini tidak dapat ikut sama kerana mempunyai komitmen masing-masing.Seorang akan berkelana ke Saigon (Selamat pergi dan pulang!) dan seorang lagi tidak dibenarkan oleh doktor untuk memegang kamera! Aduh!

Alhamdulillah,selepas diwar-warkan,ada yang menyahut.Seorang sahabat lama di kolej dahulu menawarkan diri untuk membantu.Hampir 14 tahun tidak berjumpa dengan beliau.Saya ada kejutan untuknya nanti!

Tidak semena-mena juga,seorang lagi sahabat yang berbakat besar dalam bidang video menawarkan diri untuk membuat penggambaran video pada hari itu.Terima kasih Tuan Latfy.

Peristiwa-peristiwa ini mengingatkan saya kepada tulisan John Wood, pengasas gerakan membina perpustakaan di seluruh dunia, Room to Read,di dalam bukunya,"Leaving Microsoft to Change The World".

Beliau berpendapat bahawa,kadang-kadang adalah lebih baik bagi sebuah organisasi yang berteraskan semangat kesukarelawanan seperti Room to Read sekiranya mereka tidak mempunyai semua penyelesaian dan strategi kepada masalah yang mereka dihadapi.

Ketiadaan penyelesaian ini akan memberi motivasi kepada para sukarelawan mereka untuk memerah otak dan memberi idea kreatif serta mewujudkan peranan mereka dalam menyelesaikan masalah tersebut atau dalam perlaksanaan tugas.

Sekiranya organisasi itu sudah mendapatkan penyelesaian lebih awal terhadap sesuatu isu,maka motivasi dan semangat untuk bersukarela membantu tidak akan begitu kukuh untuk menarik minat orang ramai membantu organisasi itu kerana ia tidak memberi peluang kepada mereka untuk turut sama membantu dengan menggunakan daya kreativiti masing-masing dan mencipta peranan mereka dalam menyelesaikan permasalahan itu.

1 comment:

nadya.s said...

alahai, sedih pulak tak dapat join convoy ke Gopeng minggu nih! nad ada 'kerja' di bukit bandaraya pulak hari sabtu tuh.

maaf sgt2 abg Is. hati ni nak pergi,tapi komitment disni, buat hati berbelah bagi.

ada khabaran yg shooter lain ada utk sessi ni,lega perasaan ni.