Wednesday, December 28, 2011

Meraikan Gedung Ilmu Teratak Rahmat


Mereka yang menerima manfaat sebuah perpustakaan!

Kata sahabat saya, Nasrun yang mengikuti perjalanan projek perpustakaan di rumah-rumah anak yatim sejak 2008, "This is the best project we've done so far."

Saya bersetuju kerana inilah kali pertama saya melihat komitmen yang diberikan oleh semua pihak yang berkepentingan (stakeholders), RISM dan Teratak Rahmat melebihi apa yang diharapkan. Malah, saya benar-benar terharu melihat komitmen 200% yang diberikan oleh semua warga Teratak Rahmat. Daripada layanan yang mesra sehinggalah kepada persiapan majlis sambutan yang dilaksanakan dengan begitu profesional. Ada di antara mereka yang tidak tidur malam semata-mata kerana mahu menyiapkan kemasan akhir perpustakaan sebelum ia dirasmikan. Syabas!

Sayang sekali salah seorang dermawan budiman yang memainkan peranan penting dalam penubuhan perpustakaan ini tidak dapat hadir bersama pada hari perasmian Perpustakaan Kanak-kanak RISM-ICI di Teratak Rahmat. Beliau sedang berehat di London selepas pembedahan pintasan jantung. Namun pada pagi hari perasmian, beliau ada menghubungi kami bertanyakan perkembangan akhir projek ini. Terima kasih tiada terhingga kepada Dr. Khoo Boon Khean atas kesungguhan beliau memastikan projek ini berjaya dilaksanakan.

Bagi melihat foto-foto semasa majlis perasmian perpustakaan, mohon klik di Album Facebook saya ini.

Teratak Rahmat juga menulis entri mengenai majlis perasmian perpustakaan itu di SINI.

Terima kasih tuan-tuan yang dermawan yang telah menyumbang kepada kejayaan projek perpustakaan terakhir saya buat masa ini. Saya berdoa agar tuan-tuan yang budiman terus dimurahkan rezeki. Amin...Amin...

Saya akan menumpukan sepenuh perhatian saya kepada usaha Red Bubbles menghibur pesakit kanak-kanak di hospital pula selepas ini.

Sunday, December 25, 2011

Sunyinya Wad KK3!

Wad KK3, Institut Pediatrik HKL

 Hari ini Hari Krismas. Oleh kerana program yang sepatutnya berlangsung pada hari ini terbatal atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya keluar menuju ke Institut Pediatrik HKL. Tujuan utama, ke Wad KK3 yang khusus menempatkan kanak-kanak pesakit kanser.

Apabila tiba di wad itu, saya menjangkakan yang pada hari ini, wad itu tentu meriah dengan lawatan para dermawan dan Santa Klaus sedang memberikan hadiah kepada pesakit kanak-kanak sempena Hari Krismas. Rupa-rupanya, sangkaan saya meleset. 

Wad itu sunyi sepi tanpa pengunjung. It's all quiet at the western front

Kelihatan dua orang doktor dan beberapa orang jururawat sedang bertugas. Saya terus melangkahkan kaki melewati setiap bilik sehingga ke hujung wad. Kelihatan anak-anak sedang berbaring ditemani keluarga mereka. Suasananya suram dan sangat normal. 

Pada waktu itu, mahu sahaja saya bertukar bagaikan Superman, dan masuk ke setiap bilik di dalam wad itu bagi menghiburkan mereka. 

 Tiba di hujung wad, bilik di sebelah kanan, kosong tanpa penghuni. Saya berpatah balik dan ketika melewati nurse station, saya bertanya kepada salah seorang daripada doktor yang sedang bertugas di situ, "Tidak ada orang melawatkah sempena Hari Krismas ini?"

"Tidak ada nampaknya. Dahulu pernah juga para pelajar sekolah antarabangsa datang membawa hadiah. Malah dahulu, ada juga seorang lelaki datang membuat belon untuk anak-anak ini. Kali ini tiada pula."

Beliau bertanya, "Tuan melawat saudarakah?"

"Oh, tidak. Saya sekadar berziarah. Insya Allah, saya datang lagi nanti." Saya menjawab sambil tersenyum. 

Dalam hati, saya berkata, 'Saya akan datang lagi ke sini berkali-kali!"



Bilik Permainan Kanak-kanak. Tutup.

Wednesday, December 14, 2011

Tertubuhnya Perpustakaan di Teratak Rahmat


 Ahad ini, perpustakaan Teratak Rahmat akan diserahkan secara rasminya kepada pengurusan Teratak Rahmat oleh penaja bersama projek ini, Pertubuhan Juruukur DiRaja Malaysia dan ICI Paints (Malaysia) Sdn Bhd.

Usaha sejak beberapa bulan yang lalu telah berhasil. "Man jadda wa jada", barangsiapa yang berusaha dia akan berjaya.





Terima kasih kepada para dermawan yang telah menyumbang kepada projek perpustakaan ini. Saya mempelajari sesuatu ketika mengusahakan projek ini. Dalam menjayakan projek seperti ini, pihak yang berkepentingan (stakeholder) bukan sahaja para penyumbang, malah penerima bantuan juga adalah pihak yang berkepentingan. Justeru, pandangan dan hasrat mereka juga mesti dihormati. 

Thursday, November 17, 2011

Meniup gelembung-gelembung buih



Meniup gelembung buih kepada si cilik di HUKM, Nov 2011.




Saya masih teringat peristiwa ini walaupun ia sudah hampir enam tahun berlaku.


Ketika itu, saya dan rakan badut saya, Tuan Uncle Button, dijemput oleh pertubuhan wanita sukarela Soroptimist International ke Pusat Pediatrik Hospital Besar Kuala Lumpur bagimenghiburkan pesakit-pesakit kanser kanak-kanak di Wad KK3, sempena lawatan  mereka ke wad itu.


Selesai sahaja melawat wad KK3 dan menghiburkan pesakit kanak-kanak di wad itu, kami keluar ke lobi utama pusat pediatrik itu untuk pulang.


Apabila tiba di lobi utama, kami ternampak seorang lelaki dan anak kecil yang comel berdiri di suatu sudut di lobi itu. Anak kecil itu kelihatan muram sahaja wajahnya. Sebaik sahaja beliau melihat kami, beliau cepat-cepat bersembunyi di sebalik tubuh bapanya.


“Ah, ini satu peluang untuk kita bermain dengan si anak comel itu!” Saya memberitahu Uncle Button.


Kami memastikan kedudukan kami dalam ‘jarak yang selamat’ di dalam usaha berinteraksi dengan si anak kecil itu. Jika kami berdiri terlalu hampir, kami pasti akan menakutkan beliau.


Guru badut saya, Avner Eisenberg pernah memberitahu,

“jarak yang ‘selamat’ di antara dua orang yang berdiri berhadapan di antara satu sama lain, ialah sejauh mana kedua-dua tangan seseorang itu dapat menyentuh hujung jari orang yang berdiri di hadapannya.”
Saya mengeluarkan tabung berisi buih sabun dan segera meniup gelembung buih yang paling besar ke arah anak kecil yang masih berdiri, bersembunyi disebalik bapanya itu. Bapa beliau tersenyum melihat telatah anaknya itu.


Anak kecil yang muram itu tiba-tiba ketawa mengekek-ngekek apabila buih sabun itu tiba-tiba pecah betul-betul di atas hidungnya.


Segerombolan gelembung buih kecil yang ditiup terus membuatnya terkekek-kekek ketawa.   Dengan spontan, beliau berlari-lari mengelilingi tubuh bapanya dan terus menampar-nampar buih-buih kecil itu dengan jari-jarinya.


Memang tidak dapat disangkal lagi, gelembung buih adalah silap mata terbaik untuk anak-anak kecil mahupun orang dewasa! Tiuplah gelembung buih kepada sesiapa pun, mereka pasti teruja! Tidak hairanlah, kebanyakan program 'clown doctors' di seluruh dunia menggunakan gelembung buih untuk berinteraksi dengan pesakit kecil dan bayi.


Melihat anaknya berlari-lari dan ketawa, bapanya memberitahu kami,


“Anak saya ini baru sahaja selesai pembedahan. Dia menderita sakit angin pasang (hernia) . Saya gembira kerana inilah kali pertama sejak pembedahan itu, saya melihat dia ketawa.”


Red Bubbles mengalu-alukan sumbangan dana daripada tuan-tuan yang dermawan bagi membolehkan usaha Red Bubbles bagi menghibur pesakit kanak-kanak di wad hospital dapat diteruskan. Sumbangan dana tuan-tuan boleh disalurkan ke akaun Maybank Red Bubbles : 5640 7000 2826.


Bagi mendapatkan maklumat lanjut, mohon hubungi: drbubbles@redbubbles.org.my


Nota: Entri ini pernah disiarkan pada 16 November 2009, dan setelah dikemaskini,ia disiarkan semula pada 17 November 2011 sebagai entri 'tribute' kepada Red Bubbles yang akan 'kembali' semula ke Wad KK3, HKL.

Tentu Ada Jalan!

Di HUKM pada Sabtu lepas, meniup buih untuk si kecil.

"Selepas ini kita boleh pergi ke HKL!" kata sahabat saya yang mengusahakan agar Red Bubbles boleh memasuki 'kota' HKL yang 'tebal' itu.

Di dalam hati saya, "Wah, mudahnya!" Namun, mengetahui latar belakang beliau yang begitu 'passionate' dalam usaha memberi semangat, kegembiraan, dan harapan kepada pesakit kanak-kanak, ia tidak mustahil.

Tentu sahaja saya berasa gembira dengan khabar ini. Ia ibarat sirih pulang ke gagang kerana di wad KK3, HKL itulah (wad yang dikhaskan untuk pesakit kanser kanak-kanak), inspirasi bagi usaha Red Bubbles ini bermula. Di sanalah, saya melihat sendiri bagaimana anak-anak ini menjadi 'dewasa' dalam usaha melawan kanser yang menyerang mereka. Di sanalah, saya mula meneroka dan mencari cara terbaik bagi menjadikan kehidupan anak-anak di wad itu agar menjadi lebih selesa dan ceria, dengan idea program 'clown doctors'.

Namun, perasaan gembira di hati saya segera berubah menjadi risau. Risau bagaimana harus kami mencari dana secukupnya bagi mengekalkan program lawatan bulanan Red Bubbles di Hospital UKM, Cheras dan sekarang ditambah pula bagi meneruskan usaha menghibur kanak-kanak pesakit kanser di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Namun apabila saya teringat kata-kata seorang ibu kepada pesakit kanser di HUKM yang berkata, " Terima kasih kepada Allah kerana ada insan seperti tuan yang membawa keceriaan kepada anak-anak di wad ini," lantas saya berkata kepada diri saya, "Tentu ada jalan!"


Apabila mahu diambil foto, dia cepat-cepat menanggalkan
'face mask' dan terus mengukir senyuman yang manis sekali!

Red Bubbles mengalu-alukan sumbangan dana daripada tuan-tuan yang dermawan bagi membolehkan usaha  menghibur kanak-kanak di wad hospital diteruskan. Sumbangan dana tuan-tuan boleh disalurkan ke akaun Maybank Red Bubbles : 5640 7000 2826.

Bagi pertanyaan lanjut, mohon hubungi: drbubbles@redbubbles.org.my

Sunday, October 30, 2011

Letter from Superman


From the desk of Christopher Reeve

June 2, 1999

Mr. Walt Owen
University Heights Middle School
1155 Massachusetts Avenue
Riverside, CA 92507

Dear Mr. Owen and Students:

Thank you for the letter that you sent me. I am happy to enclose a photograph, but I am unable to autograph it at this point in time because my spinal cord injury prevents me from being able to move my arm and hand in order to hold a pen and sign my name.

I am not going to preach to you that you should stay in school. I do want to tell you that you can do ANYTHING you want in this life if you have the determination and drive to make it happen. An education will help provide you with the knowledge and skills that you will need in order to pursue your ambitions and fulfill your dreams.

You are the future. You can make a difference. Perhaps you will work in a research laboratory that will help discover the treatments that will enable me to not only sign my name, but to get up and walk again.

I wish you all the best in all of your endavors.

Sincerely,

Christopher Reeve
(Dictated)



Sumber: www.lettersofnote.com

Monday, October 24, 2011

Kata Pembaca

Cikpuan Zinnirah sedang membaca buku ini.

Alhamdulillah, sejak buku Leaving Microsoft to Change The World Edisi Bahasa Melayu diterbitkan, saya mendapati respons daripada para pembacanya rata-rata amat positif.


Saya ketawa apabila Puan Hasnita Shaari memberitahu saya mengenai gelagat Cikpuan Zinnirah, anaknya yang berusia 11 tahun, 


"Tidak sempat lagi saya membaca buku sulung terjemahan Tuan ini, ia sudah disambar Cikpuan Zinnirah malam semalam! Katanya, walaupun bukan buku untuk 'budak-budak', beliau mudah faham isinya. Sudah masuk Bab 2. "Best!" Itu testimoni beliau setakat ini. Terpaksalah saya tunggu beliau habis membaca dahulu." 


(Sehingga saat ini, Puan Hasnita masih belum dapat membaca buku ini.)









Sahabat saya, Tuan Jiwarasa pula menulis reviu mengenai buku ini di dalam Goodreads:



1.Buku ini adalah buku tentang dunia buku. Lebih dari itu, buku ini bercerita bagaimana idea berbagi buku boleh mengubah hidup kanak-kanak yang tidak mampu membeli buku.


2.Buku ini memutar semula memori saya semasa kecil, yang sering berkunjung ke perpustakaan. Buku-buku di situlah yang telah menjadikan saya pembaca yang tegar.


3. Membaca buku ini buat mata saya sering tergenang. Saya terfikir tentang koleksi buku milik saya yang menimbun tetapi hanya mendatangkan kebaikan dan keuntungan buat diri saya seorang. Di masa yang sama, ada kanak-kanak yang tidak berpeluang untuk untuk membaca buku, malah tidak bersekolah langsung. Sampai hati kita, menambun buku di saat ada insan yang tidak mampu membeli hatta sebuah buku.


4. Buku ini diterjemahkan oleh sahabat saya yang juga seorang pencinta buku tegar, Iskandar Syah Ismail atau  DR Bubbles. Sahabat yang saya kenal lama di blog. Iskandar telah memulakan inisiatif mengumpul dana untuk mendirikan perpustakaan di rumah anak-anak yatim. Inisiatif yang bermula kecil ternyata telah memberikan kesan yang bermakna kepada anak-anak yatim di berpuluh tempat di seluruh negara. Rupanya, buku inilah yang telah menjadi pendorong beliau untuk melakukan demikian.


5. John Wood, penulis buku ini adalah tokoh yang bikin saya jadi kagum. Seorang eksekutif yang sudah di puncak kerjaya, bekerja di organisasi impian ramai iaitu Microsoft. Beliau mengambil tindakan nekad berhenti kerja lalu menumpukan sepenuh tenaga dan masa untuk kerja amal.


Saya bagi 5 bintang untuk pesanan, dorongan, motivasi, kesedaran dan kerja amal yang memberi cahaya buat anak-anak pewaris masa depan. 




Friday, October 07, 2011

Buku Terjemahanku yang Pertama!

ISBN-13: 978-967-5783-95-1

Alhamdulillah, buku terjemahan saya yang pertama, Leaving Microsoft to Change the World oleh John Wood, diterbit pada hari ini oleh PTS Litera, anak syarikat PTS Publications & Distributors.

Sinopsis buku ini di laman web PTS berbunyi: 

"Sekiranya kita pernah terfikir hendak meninggalkan kerjaya sekarang bagi menempuh suatu pengembaraan hidup yang hebat, dan dalam masa yang sama meraih peluang berbakti kepada orang lain, kisah pengalaman hidup John Wood bisa memberi inspirasi.

Kisah beliau ini menawarkan gambaran jelas, penuh dengan emosi dan cerita yang mengasyikkan tentang bagaimana beliau mengambil setiap pengajaran yang dikutip ketika bertugas di sebuah syarikat gergasi dunia iaitu Microsoft, dan menggunakannya bagi mengatasi masalah sosial yang paling meruncing di dunia."
 
Masalah sosial yang paling meruncing di dunia yang dimaksudkan beliau itu adalah buta huruf. 

Usaha John Wood ini sentiasa memberi inspirasi kepada saya supaya meneruskan usaha penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim, dan projek-projek pendidikan (Sekolah Antarabangsa) yang lain.

Saya berpendapat bahawa buku ini adalah buku yang bagus dibaca untuk sesiapa sahaja yang bercita-cita mahu menjana perubahan (make a difference) dalam hidup orang lain. 

Jika tuan berminat bagi mendapatkan buku ini, buku ini berharga RM22 (Semenanjung Malaysia)/ RM25 (Sabah/Sarawak). Ia boleh dibeli di kedai-kedai buku atau terus daripada PTS di SINI.




Wednesday, October 05, 2011

Projek Kutub Khanah Teratak Rahmat: Khabar Gembira!





Alhamdulillah! Baru sahaja menerima khabar gembira bahawa Institut Juruukur DiRaja Malaysia (RISM) telah bersetuju bagi membiayai penubuhan perpustakaan di Teratak Rahmat sempena sambutan Jubli Emas penubuhan RISM.

Majlis penyerahan perpustakaan akan dilangsungkan pada 18 Disember 2011.



Sunday, September 18, 2011

Comeback!



Pagi ini, hati saya masih berbunga-bunga dek apa yang berlaku pada pagi semalam.

Bak kata Hugh Grant dalam filem komedi romantik, Notting Hill, pengalaman semalam benar-benar, "surreal but nice."

Semalam, saya berada di Wad Pediatrik Hospital UKM, Cheras bagi menghibur sekumpulan pesakit kanser kanak-kanak di wad itu. Selama sejam setengah bersama mereka itu, Saya mengajar mereka cara melukis ayam menggunakan bentuk ala 'Ed Emberley', membuat kipas jari daripada kertas yang nipis, dan yang paling mengujakan mereka ialah aktiviti "clown manicure" yang saya pelajari daripada Jeannie Lindheim, pengasas program 'hospital clowning' Heart and Noses di Boston.

Terlalu banyak yang saya pelajari melalui pengalaman menghiburkan mereka itu, semalam. Segala apa yang saya pelajari mengenai 'clowning' selama ini kembali segar semula. 

Hasil refleksi selepas persembahan semalam, saya mengingati kembali pesan guru clown saya, Avner Eisenberg supaya sentiasa bernafas dengan tenang semasa membuat persembahan. Hanya dengan bernafas dengan tenang, segala perasaan 'tension' yang berkecamuk di dalam fikiran akan susut dengan sendirinya.

Saya juga menyedari yang kekuatan saya pada gerakan 'physical comedy' yang saya pelajari daripada beliau enam tahun yang lalu. Justeru, melalui perbincangan dengan ahli-ahli Red Bubbles yang lain, saya akan mula menggubah suatu persembahan 'physical comedy' yang boleh diadakan di wad hospital.   Ia pasti lebih menghiburkan!

Banyak juga kesalahan-kesalahan yang saya lakukan semasa aktiviti itu semalam. Tidak mengapa, kerana ia boleh diperbaiki. Benarlah kata pepatah Cina, " Tell me, I'll forget, show me and I may remember; involve me and I'll understand." 


Clown Manicure!


Terima kasih kepada ahli-ahli Red Bubbles yang melihat dan memberikan maklum balas kepada saya semalam. Terima kasih juga kepada sahabat saya, Davie yang mengatur program itu semalam. Hanya Allah sahaja dapat membalasnya. Amin.

Saya juga teringat kata-kata Prof. Maya Angelou, penulis wanita yang terkenal di Amerika, 

“I've learned that people will forget what you said, people will forget what you did, but people will never forget how you made them feel.”


Itu sahajalah yang saya harapkan daripada anak-anak kecil berhati tabah di dalam wad itu semalam.


Nota kaki:


Sumbangan dana bagi membantu usaha Persatuan Red Bubbles meneruskan program 'clown doctors' di hospital secara 'regular' boleh disalurkan melalui akaun berikut: 

Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah atau RED BUBBLES
Akaun Maybank : 5640 7000 2826
Emel: drbubbles@redbubbles.org.my

Friday, July 29, 2011

Here's to the Crazy Ones

Red Bubbles on Harian Metro, 29 July 2011

Here's to the crazy ones.
The misfits. The rebels. The troublemakers.
The round pegs in the square holes.
The ones who see things differently.
They're not fond of rules.
And they have no respect for the status quo.
You can praise them, disagree with them, quote them,
disbelieve them, glorify or vilify them.
About the only thing you can't do is ignore them.
Because they change things.
They invent. They imagine.
They heal. They explore. They create. They inspire.
They push the human race forward.
Maybe they have to be crazy.
How else can you stare at an empty canvas and see a work of art?
Or sit in silence and hear a song that’s never been written?
Or gaze at a red planet and see a laboratory on wheels?
While some may see them as the crazy ones, we see genius.
Because the people who are crazy enough to think they can change the world, are the ones who do.
 
(Advertisement for Apple Computer, adapted from the writings of Jack Kerouac)
Note: That's how this clown see.

Wednesday, July 13, 2011

Tiada Rotan Akar pun Berguna

Jambatan Akar di India (Kredit foto: http://babakoto.eu)
 
Ketika berkelana ke Maninjau, di Sumatera Barat, saya menerima SMS daripada sahabat saya Tuan Hazman, ahli lembaga pengelola Teratak Rahmat.

Beliau menulis, "Salam tuan, ada entri terbaru di blog Teratak Rahmat mengenai projek Perpustakaan Kanak-kanak di Teratak Rahmat."

Apabila pulang ke rumah, saya segera membuka blog Teratak Rahmat. Alangkah gembiranya saya membaca entri terbaru blog mereka.

Tersenyum saya membaca catatan sahabat saya itu,

Beliau menulis.

...Seperti yang dipersetujui, ketika DR Bubbles mencari dana bagi membeli buku, peralatan dan perabot dalam perpustakaan, kami di Teratak Rahmat pula bertekad untuk menyediakan ruang dengan menegakkan dinding, tingkap dan pintu yang bersesuaian, di samping memasang kipas elektrik untuk keselesaan pengguna perpustakaan.

Syukur kepada Allah, seruan kami untuk orang ramai membantu sudah disahut. Sumbangan berupa papan lapis (plywood) dan kayu-kayan terpakai sudah diterima. 

Sumbangan papan lapis dan kayu-kayan
 

Inilah bahan asas yang akan digarap dan diperindah oleh para warden kami yang turut bertindak sebagai jurubina ruang ini. Tentunya juga usaha itu akan dilaksanakan dengan kos yang paling minimum....

Sumbangan meja dan papan lapis

Usaha warga Teratak Rahmat ini mengingatkan saya kepada kepada peribahasa Melayu yang berbunyi,

“Tiada rotan, akar pun berguna.”

Peribahasa Melayu ini bermaksud, kalau tiada yang baik, maka yang kurang baik pun boleh juga.

Namun, saya paling suka peribahasa ini yang dititipkan oleh sahabat saya itu,

“Tunggul kayu kalau ditarah pelicin; elok juga”.

Maksud peribahasa ini ialah, barang yang buruk kalau dihiasi tentu akan cantik juga kelihatannya.

Tepat sekali!

Ternyata idea penglibatan komuniti dalam usaha ini berhasil. Tatkala belum pun saya dapat meraih dana yang cukup bagi menubuhkan perpustakaan, warga Teratak Rahmat sudah berjaya membuktikan komitmen mereka dalam usaha bersama ini, dengan meraih sumber dalam bentuk material bagi menyediakan ruang perpustakaan di Teratak Rahmat.

John Wood, si pencetus idea 'community participation' dalam penubuhan perpustakaan seperti ini, pasti tersenyum lebar.

Malah, kejayaan Teratak Rahmat itu memberi semangat kepada saya untuk berusaha lebih gigih bagi mendapatkan dana secukupnya bagi penubuhan perpustakaan di tempat mereka.

Lalu, terdetik di hati saya ketika selepas bersolat sebentar tadi,

"Tidakkah kita mahu membantu mereka yang berusaha membantu diri mereka sendiri?


Nota: Sumbangan bagi membeli buku untuk Projek Perpustakaan Teratak Rahmat boleh disalurkan kepada akaun Maybank: 162188016529 (Iskandar Syah Ismail).

Tuesday, July 05, 2011

Sumbangan Zakat & Kembara Ukhwah ke Utara

Maafkan saya kerana sudah lama tidak menulis dalam blog ini. Namun, apabila tidak menulis bagi tempoh beberapa ketika, saya berasa hidup ini seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Lega rasanya apabila malam tadi, saya membiarkan tangan mencoret apa sahaja yang terlintas di fikiran. Ia sungguh terapeutik.

 Projek Perpustakaan Teratak Rahmat






Alhamdulillah, tinggal lagi RM12,000 bagi mencapai dana sasaran projek Perpustakaan Teratak Rahmat. Saya bersyukur!

Apa yang lebih menggembirakan, Teratak Rahmat juga mendapat sumbangan zakat sebanyak RM7000 daripada sahabat yang dermawan bagi menampung kos kehidupan seharian anak-anak Teratak Rahmat. Semoga Allah memurahkan rezeki mereka. Amin.

Puan Kusyi Hirdan

 Selain daripada itu, penulis novel terkenal, Puan Norhayati Berahim dan sahabat saya Puan Kusyi Hirdan sedang merancang program Kembara Ukhwah ke Utara bagi melawat Teratak Rahmat pada 13 Ogos 2011, semasa di bulan Ramadan. Bagi mendapat keterangan lanjut, mohon layari blog ini.

1. Blog Puan Kusyi Hirdan: SINI.

2. Blog Puan Norhayati Berahim: SINI

Alhamdulillah, pada masa yang sama, sebuah yayasan juga berminat bagi membantu usaha penubuhan perpustakaan Teratak Rahmat. Saya sedang menunggu maklum balas daripada pihak yayasan itu bagi meninjau Teratak Rahmat bersama mereka kelak.


 Mohon doa tuan dan puan supaya usaha ini dipermudahkan. Amin.

Wednesday, June 15, 2011

Membantu usaha Red Bubbles

DR Bubbles menghibur kanak-kanak di hospital

Saya mendapat khabar baik pagi tadi. 

Alhamdulillah, Red Bubbles sudah mempunyai akaun bank di Maybank Berhad. Justeru, ia memudahkan para dermawan yang mahu menyumbang dana bagi membantu usaha Red Bubbles menghiburkan pesakit kanak-kanak di hospital.

Sumbangan dana bagi Red Bubbles boleh disalurkan melalui akaun berikut:

Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah atau RED BUBBLES

Akaun Maybank : 5640 7000 2826 

Emel: drbubbles@redbubbles.org.my


Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya dan bukan menerima sebanyak-banyaknya.
~kata-kata Pak Harfan dalam novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata

Saturday, June 11, 2011

Baca Buku, Buka Dunia

Girl in Uttarkhand, India reads in her classroom library (Dana Smillie/Room to Read)

Foto ini mengingatkan saya kepada kenangan semasa zaman kanak-kanak saya.

Sambil menunjukkan wajah yang belas kasihan, saya merayu kepada kerani sekolah, "Pakcik Zaaba, mohon pinjam kunci 'library', boleh?"

Beliau yang sudah masak atau mungkin sahaja bosan dengan telatah si anak kecil berusia 6-7 tahun ini, datang ke pejabatnya meminta kunci perpustakaan sekolah setiap hari, segera menghulurkan segugus kunci tanpa banyak soal.

Apabila berjaya mendapatkan kunci daripada beliau, si anak kecil ini lantas berlari dalam keriangan, dan dengan tergopoh-gapah memasukkan kunci ke dalam lubang tombol, tidak sabar-sabar lagi mahu membuka pintu perpustakaan.

Membuka pintu perpustakaan itu suatu pengalaman yang mengujakan. Ia seolah-olah membuka pintu ke bilik yang dipenuhi harta karun. Sukar digambarkan perasaan itu.

Apabila pintu itu berjaya dibuka, si anak kecil ini pantas memasuki, dan menghirup aroma buku yang sungguh harum di hatinya. Biarpun pada hakikatnya bau-bauan itu sebenarnya datang daripada buku-buku yang lusuh dan usang.

Di dalam ruang ini, beliau bebas sebebasnya meneroka alam, mengembara jauh ke seluruh pelusuk dunia.

Foto ini juga mengingatkan juga saya kepada kisah sekumpulan kanak-kanak lelaki di Rajashtan, India yang berjaya memujuk seorang pustakawan bernama Gajanand supaya menubuhkan perpustakaan di sekolah mereka. (Kisah mereka itu boleh dibaca dalam buku Leaving Microsoft to Change the World, oleh John Wood). Keghairahan mereka mahu membaca seberapa banyak buku di dalam perpustakaan itu benar-benar membuatkan saya terharu.  

Benarlah ungkapan yang tertera di sebuah poster di dalam sebuah blog,

"Membaca buku, Membuka dunia".

Atas inspirasi-inspirasi itu, saya kini sedang berusaha bagi menubuhkan perpustakaan di Teratak Rahmat.


Update terkini: Dana terkumpul sehingga kini adalah sebanyak RM12,000. 
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank: 1621 8801 6529 (Iskandar Syah Ismail)

Friday, June 10, 2011

Mengukur kelapa

Kelapa parut

"Tolong parutkan kelapa sebiji," ibuku berkata sambil mengacau gulai di atas dapur.

Sudah lama saya tidak membantu beliau di dapur. Saya menurut sahaja permintaan beliau, lalu mengambil kelapa yang sudah dibelah di atas meja dan membawanya ke luar dapur. Mesin kelapa sengaja diletakkan di luar rumah kami, supaya mudah dibersihkan.

"Mak, boleh hulurkan saya dulangnya?" saya bertanya.

Ibu segera mengambil dulang yang sederhana besar dari rak pinggan mangkuk di bawah meja dan menghulurkan kepada saya yang sudah pun duduk bersedia di hadapan mesin bagi mengukur kelapa. Saya segera meletakkan dulang di bawah mesin supaya ia boleh menampung isi parutan kelapa yang jatuh apabila dikukur nanti.

Ibu berpesan, "Nanti kukurlah lembut-lembut. Jangan ditekan kuat-kuat tempurung kelapa pada mata kukur."

Setiap kali saya mengukur kelapa dengan menggunakan mesin kelapa itu, saya memang sengaja menekan tempurung kelapa dengan sepenuh tenaga pada mata kukur. Seronok, melihat serbuk kelapa parut bertebaran jatuh membentuk gumpalan berwarna putih di dalam dulang. Lagipun, kerja pun cepat siap.

"Kenapa?" saya bertanya. Musykil kerana inilah kali pertama ibu menyuruh saya berbuat demikian.

"Oh, jika dikukur lembut-lembut, isi parutannya lebih halus. Mudahlah emak meramasnya. Santan kelapa pun mudah keluar."

Wah! Saya tidak pernah terfikir mengenai perkara itu. Selama ini, saya menyangka, kerja yang pantas dan menggunakan tenaga yang kuat, akan memberi hasil yang bagus. Rupa-rupanya tidak.

Kadang-kadang, pekerjaan yang perlu dilakukan dengan cermat dan perlahan, tanpa perlu tergesa-gesa, bisa membuahkan hasil yang lebih baik dan memudahkan urusan orang lain.

Tugas mudah mengukur kelapa ini mengajar saya satu pelajaran hidup yang sungguh besar.


Kredit Foto : theenglishkitchen.blogspot.com

Monday, June 06, 2011

Cerita Sekolah Antarabangsa (II)

Sahabat saya di Kota Kinabalu menulis,

Assalamualaikum.

Sehari selepas lawatan pertama saya ke Madrasah Al Hikmah (MAH), saya
berkunjung lagi ke sana pada hari yang berikutnya untuk merakamkan
foto-foto suasana pembelajaran di dalam bangunan sekolah yang usang
itu, supaya mungkin dapat dikongsikan dengan sesiapa yang sudi untuk
mengambil tahu tentang nasib mereka. Berat mata kita melihat nasib
mereka di dalam foto, berat lagi bahu mereka yang memikul.

Sekolah ini secara lebih tepatnya telah mula beroperasi pada Mac 2005
atas inisiatif seorang budiman, En Yahya bin Yacob. Dengan kerjasama
penduduk tempatan, mereka telah membaik pulih surau yang juga adalah
balai raya mereka untuk dijadikan bangunan sekolah ini. Pada masa ia
ditubuhkan, sekolah ini bermatlamat untuk memberi peluang kepada
anak-anak pelarian Muslim selatan Filipina untuk memperolehi
pendidikan asas membaca, menulis dan Fardhu Ain. Sehingga kini,
sekolah ini masih menggunakan bangunan yang sama.

Juga sehingga kini, kebanyakan pelajar di sekolah ini adalah masih
anak-anak daripada generasi  kedua atau ketiga masyarakat pelarian
Muslim selatan Filipina tersebut, di mana kebanyakan mereka tidak
dapat untuk mengikuti persekolahan di sekolah bantuan kerajaan atas
sebab kemiskinan atau masalah dokumentasi kerakyatan yang diwarisi
daripada ibubapa mereka.

Tentang masyarakat Filipina ini, ramai yang mempunyai persepsi yang
kurang tepat lantaran istilah ‘Filipina’ itu sendiri. Ya, generasi
awal mereka memang berasal dari Filipina, namum mereka adalah daripada
masyarakat Muslim Melayu Suluk yang berasal dari Selatan Filipina yang
lari menyelamatkan diri dari tanah air mereka kerana peperangan yang
tercetus antara Manila dengan penduduk tempatan di Selatan Filipina
tersebut.

Berbalik kepada MAH, saya hanya sempat untuk berkunjung ke sana pada
sesi kedua dan ketiga persekolahan mereka. Sesi kedua adalah untuk
kelas tadika dan darjah 1, sementara, sesi ketiga adalah untuk darjah
3, 4 dan 5. Ketika kunjungan saya, mereka sedang menduduki
perperiksaan semester 1.

Bagi menampung operasi persekolahan seperti kertas-kertas latihan dan
perperiksaan serta bayaran saguhati untuk 4 orang gurunya, sekolah ini
mengutip yuran bulanan sebanyak RM5. Namun, kerana kesempitan hidup,
ramai yang tidak mampu untuk menjelaskan yuran bulanan tersebut.
Namun, tiadalah guru-gurunya menyebut-nyebut tentang tunggakan yuran
supaya anak-anak muridnya tidak menjadi segan untuk hadir ke sekolah.
Kasihan.

Kesemua guru-gurunya mempunyai pendidikan formal, sekurang-kurangnya
dengan kelulusan A-Level atau STPM. Kos operasi utama persekolahan ini
adalah untuk edaran-edaran latihan yang difotokopi dengan kos 20 sen
bagi setiap helai salinan depan belakang. Jika anak-anak murid mereka
berkemampuan, akan dibelikan satu buku kerja latihan yang lengkap,
tidak perlu difotokopi helai demi helai lagi.

Selain itu, atas sebab-sebab yang munasabah dan penting, sekolah ini
mengenakan uniform persekolahan baju putih dan seluar/kain berwarna 'maroon'.
Namun, juga kerana kekangan kewangan, ada antara anak-anak murid ini
hanya mampu  memakai apa yang mereka ada sahaja untuk ke sekolah.
Juga, tiada guru-guru menyebut-nyebut tentang masalah sekecil itu
supaya terus anak-anak murid mereka hadir  ke sekolah.

Setakat ini sahaja kali ini, InsyaAllah saya akan sambung lagi pada lain waktu.

Terima kasih.

Thursday, May 26, 2011

Dua papan hijau, dua kelas serentak!

Foto terbaru Sekolah 'Antarabangsa', Likas, Sabah.
Sahabat saya di Kota Kinabalu, melawat Sekolah "Antarabangsa", semalam.


Beliau menulis,


Assalamualaikum,

Saya tergamam!

Terima kasih yang tidak terhingga kerana menemukan saya dengan sekolah ini. Hanya baru semalam saya berpeluang untuk melawat dan melihat sendiri dengan mata kasar saya keadaan sekolah ini.

The moment I entered the building, suddenly I lost my will to speak, I was speechless, so pity!

Sengaja saya mengelak daripada melihat wajah pelajar-pelajarnya, takut saya tidak dapat mengawal emosi saya. Terus saja saya bertanyakan soalan kepada guru-guru mereka, menunggu sehingga pelajar-pelajarnya pulang. Justeru gambar-gambar yang saya ambil hanyalah ketika pada waktu kelasnya kosong, tanpa kehadiran pelajar.

Menurut guru-gurunya, bangunan ini adalah bekas surau. Ia dijadikan sebagai kelas mungkin sejak seawal tahun 2004 lagi sehingga sekarang tahun 2011. Perkampungan air di Likas ini sudah tiada, semuanya sudah dirobohkan kecuali bangunan sekolah ini yang hanya menunggu gilirannya sahaja.

Dua papan hijau, dua kelas berlangsung serentak!
Di dalam kelas ini terdapat dua papan hijau, satu papan hijau untuk satu darjah. Maksudnya, setiap sesi pembelajaran dijalankan serentak bagi dua darjah. Sebagai contoh, Darjah 5 mungkin di sebelah kanan kelas, dan sesi pembelajaran Darjah 4 di sebelah kiri kelas.

Ada lapan meja dan bangku panjang di kiri kanan kelas dan dua meja di tengah-tengah, jumlah semua 18 meja panjang.

Tiada kipas angin tiada di dalam kelas itu. Bekalan air di tandas pula hanyalah menggunakan air tadahan hujan.

Jumlah pelajar terkini adalah lebih kurang 394 orang dengan 4 orang guru.

Murid-murid Tadika terdiri daripada 140 orang, murid Darjah 1 seramai 91 orang, Darjah 2 pula seramai 68 orang, Darjah 3 seramai 57 orang, Darjah 4 seramai 31orang, dan Darjah 5 seramai 11orang. Manakala, tiada kelas bagi Darjah 6 diwujudkan di sekolah itu.

Dalam sehari terdapat 3 sesi pembelajaran : 8.00-10.30 pagi (Darjah 1 & Darjah 2), 10.30 pagi-1.30 tengah hari (Darjah 1 & tadika) dan 1.30-4.30 petang (Darjah 3 – Darjah 5).

Para pelajarnya rata-rata berumur antara 6 hingga 15 tahun.

Terdapat 5 subjek yang diajar di sekolah itu sekarang: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, dan Pendidikan Islam. Dalam sehari, setiap darjah akan belajar 2 subjek.

Insya Allah, saya akan sambung lagi cerita mengenai sekolah ini.


Berita baik! Pihak penerbitan PTS telah sudi menyumbang zakat sebanyak RM1000 sebulan bagi menampung gaji seorang guru tambahan, dan perbelanjaan lain bagi sekolah ini. Saya berdoa kepada Allah semoga melimpahkan rezeki yang mencurah-curah kepada para karyawan dan petugas PTS. Amin.


Monday, May 23, 2011

Selesai menterjemah, kembali mencari dana

Lukisan cat minyak untuk dijual bagi mengumpul dana 

Alhamdulillah. Saya berasa sungguh lega kerana kerja terjemahan buku Leaving Microsoft to Change The World berjaya diselesaikan selepas hampir dua bulan menyiapkannya. Ia suatu pengalaman yang mengujakan.
Saya belajar satu perkara daripada pengalaman pertama kali menterjemah buku ini: Jika kita berusaha bersungguh-sungguh, kita pasti berjaya mencapainya. 

Terima kasih kepada Cikpuan Norhaslinda dan Cikpuan Faslin serta Puan Asma di PTS Litera kerana memberi kepercayaan dan dorongan kepada saya bagi menterjemah buku ini. Saya juga berterima kasih atas dorongan dan tunjuk ajar mentor terjemahan saya,  Allahyarham Tuan Adlie Syamsuddin, Puan Fatimah Rodhiah, dan Tuan Imran dalam menyelesaikan penterjemahan buku ini.

Saya juga berterima kasih atas sokongan dan bantuan Cikpuan Nor Hayati Mohd Redzwan kerana turut sama membantu menyunting hasil terjemahan buku ini, siang dan malam, sebelum ia diserahkan kepada editor. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Amin.

Hari ini, saya bersyukur kerana dapat kembali berusaha mengumpul dan bagi menubuhkan perpustakaan di Teratak Rahmat. Pada hari Sabtu lepas, sahabat saya, Dr.Faridah Abdul Manaf telah sudi menderma sumbangan dana dan dua buah lukisan cat minyak yang cantik. Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan. Beliau sejak dahulu lagi sentiasa menyokong usaha ini. Jika ada tuan dan puan yang berminat membeli lukisan-lukisan ini sambil menderma, bolehlah menghubungi saya melalui emel: adabi99@gmail.com. 

Sehingga kini dana bagi menubuhkan perpustakaan di Teratak Rahmat meningkat kepada RM11,689. Saya sedang berusaha mendapatkan RM18,381 lagi bagi merealisasikan impian ini. Seperti mana yang saya katakan tadi, 
Jika kita berusaha bersungguh-sungguh, kita pasti berjaya mencapainya.